Sunday, December 6, 2009

Aktiviti 13: Tugasan 4 - Mini Kajian Tindakan

Berdasarkan kursus psikologi/kaedah mengajar/ pentaksiran pembelajaran,
  1. Apakah teori-teori, strategi, kaedah yang boleh diguna/diadaptasi bagi setiap masalah?
  2. Membina kerangka teoritikal, konseptual, operasional kajian
  3. Selaras dengan pernyataan masalah dan tujuan/ objektif/ soalan kajian

1) Teori kontruktivisme

Menurut Bruner (1985) dan Von Glaserfeld (1980) konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia dan berpegang kepada konsep melalui pengalaman sedia ada pelajar yang akan membina kefahaman masing-masing tentang perkara yang berlaku dalam kehidupan. Dengan lain perkataan, teori ini menjelaskan bahawa setiap manusia akan menjana prinsip kefahaman dalam minda sebagai model mengikut pengalaman sedia ada supaya ia boleh disesuaikan dengan pengalaman baru yang akan diterima. Ia juga melibatkan pengaplikasian kemahiran berfikir seperti menganalisis, mengintegrasi, dan membuat refleksi serta membentuk kefahaman baru tentang sesuatu konsep dengan mengintegrasi pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru.

Dalam persekitaran pengajaran-pembelajaran konstruktivisme yang menekankan pengajaran-pembelajaran berpusatkan pelajar, guru berperanan membantu membina kefahaman pelajar melalui kaedah yang sesuai mengikut tahap kemajuan pelajar masing-masing dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar memainkan peranan yang aktif dalam proses pengajaran-pembelajaran agar mereka dapat mempelajari sesuatu pelajaran dengan melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah.(Von Glasersfeld, 1996; Neo dan Neo, 2002; Hirumi, 2002; Coombs dan Wong, 2000). Menurut teori ini, pembelajaran adalah hasil usaha pelajar itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk mereka.

Maka, pelajar bertanggungjawab mencari pelbagai cara untuk memproses maklumat dan menyelesaikan masalah supaya mereka tidak menganggap guru sebagai pembekal maklumat tetapi hanya sebagai suatu daripada sumber pengetahuan untuk membantu mencari maklumat dan menggalakkan berfikir serta berkomunikasi. Mereka diberikan peluang untuk membuat keputusan sendiri tentang perkara-perkara yang akan mereka pelajari dan seterusnya mencapai objektif pembelajaran mereka. Akhirnya, pelajar yang dalam persekitaran pembelajaran konstruktivisme ini dapat belajar bagaimana menyerap dan memperoleh informasi baru yang dikehendaki untuk membina pengetahuan baru berasaskan pengetahuan yang sedia ada (Wong et al., 2003).

2) Pembelajaran Koperatif

Menurut Kagan & Olsen (1992), PK merupakan aktiviti pembelajaran dalam kumpulan yang berstruktur dimana pembelajaran adalah bergantung kepada pertukaran maklumat secara sosial antara ahli-ahli kumpulan, setiap murid adalah bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri dan juga ahli kumpulannya. Johnson, Johnson, dan Holubec (1993), menyatakan PK sebagai pembelajaran dalam kumpulan kecil terdiri dari dua hingga empat orang murid yang bersifat heterogen untuk memaksimakan pembelajaran setiap ahli kumpulan bagi mencapai matlamat bersama. Seorang lagi pakar dalam PK, Slavin (1985), menakrifkan PK sebagai startegi pengajaran melalui kumpulan kecil heterogen yang berstuktur dan sistematik, beliau mendapati ia sesuai untuk semua mata matapelajaran dan juga murid dari semua peringkat.

Walaubagaimana pun, PK bukan setakat mengumpulkan murid dalam kumpulan kecil untuk duduk bersama-sama, berkongsi bahan pembelajaran dan berinteraksi sambil menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Menurut D. W. Johnson, dan R. T. Johnson (1989) dan Kagan (1992), PK yang berkesan dalam proses pembelajaran perlu mematuhi lima prinsip utama yang berikut :

(i) Hubungan saling gantung yang positif
Setiap ahli kumpulan perlu mempunyai persepsi bahawa mereka adalah saling bergantung untuk mencapai matlamat kumpulan yang diberikan, kejayaan seseorang ahli kumpulan bermaksud kejayaan seluruh kumpulan dan sebaliknya, kegagalan seorang ahli kumpulan bermaksud kegagalan seluruh kumpulan, ("sink or swim together"). Untuk mewujudkan hubungan saling positif, guru boleh merancang matlamat bersama untuk setiap kumpulan, memberi ganjaran kepada semua ahli kumpulan apabila setiap ahlinya mencapai kritiria yang ditentukan dan setiap ahli kumpulan boleh diberi perananperanan Kapten, Pelari, Penggalak dan Pemeriksa.

(ii) Akauntabiliti individu
Setiap ahli kumpulan bertanggungjawab untuk menunjukkan pencapaian pembelajaran individu. Ini dapat dilaksanakan dengan penilaian berterusan terhadap pencapaian murid sama ada dengan memberi ujian kepada semua murid atau pemilihan murid secara rawak dari setiap kumpulan untuk menjawab soalan dan markah yang diperolehi diberi kepada kumpulan tersebut.

(iii) Interaksi bersemuka
Untuk meningkatkan prestasi ahli kumpulan, ahli kumpulan perlu berinteraksi antara satu sama lain termasuklah berbincang, berkongsi maklumat dan memberi sokongan kepada usaha ahli kumpulan. Kedudukan ahli kumpulan boleh disusun supaya dapat bersemuka antara satu sama lain.

(iv) Kemahiran sosial
Kemahiran kumpulan kecil dan interpersonal adalah sangant penting untuk menjayakan PK. Guru perlu mengajar kemahiran-kemahiran tersebut dengan terancang dan teliti, antaranya ialah kemahiran berkomunikasi, mengurus konflik, memimpin, membuat keputusan, mendengar, memberi galakan dan mengikut giliran. Kemahihran sosial juga adalah amat penting untuk mewujudkan interaksi yang berkesan antara ahli kumpulan dari etnik dan budaya yang berbeza.

(v) Pemprosesan kumpulan
Ahli kumpulan menilai kembali usaha mereka serta kemajuan kumpulan dari segi pencapaian matlamat. Ini membolehkan ahli kumpulan terus berfokus pada matlamat bersama, berusaha membaiki kemahiran sosial, memastikan ahli kumpulan mendapat maklumbalas terhadap sumbangan masing-masing dan mengingatkan ahli kumpulan untuk terus bekerjasama.

Kerangka Konseptual


Kerangka Operasional


No comments:

Post a Comment